Seperti tahun-tahun sudah.
Seperti semester-semester yang lalu, setiap insan
yang bernama pelajar mahupun mahasiswa menempuh
satu medan yang bagi mereka adalah merupakan kayu
pengukur terhadap mutiara ilmu yang mereka telah
kutip selama ini. Medan yang amat besar
implikasinya terhadap para pelajar , tidak lain
dan tidak bukan ialah 'peperiksaan'. Mungkin di
waktu ini masing-masing sedang berdebar-debar
menunggu apa yang bakal mereka perolehi hasil
daripada perahan mental di dewan peperiksaan
tempohari. Insya Allah, mudah-mudahan segala
usaha kita akan dikurniakan dengan hasil yang
terbaik daripada Allah. Dalam
jangkamasa yang penuh debaran dan kerisauan ini,
apa kata kalau kita redakan hati yang gelisah ini
dengan kembali ke belakang, mengimbau sejenak
tentang tarbiah atau didikan Allah yang
terkandung dalam situasi yang sedang kita hadapi
sekarang ini. Sesungguhnya kalau difikirkan
dengan penuh kesedaran, terdapat satu pengajaran
yang begitu bernilai sekali buat diri kita. Ada
banyak persamaan dengan kehidupan seorang pelajar
yang bermula dengan pembelajarannya sehinggalah
ke masa-masa menunggu keputusan peperiksaan
dengan kehidupan kita sebagai seorang manusia.
Mari kita tinjau beberapa period penting ini satu
persatu.
Ilmu. Itulah yang dicari
dan dipelajari oleh seorang manusia. Ilmu dicari
walau di mana sekali pun. Bagi mereka yang berada
di universiti, keinginan untuk mendapatkan
segulung ijazah telah membuatkan mereka berusaha
bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka. Tidak
ada orang yang mendaftar ke universiti dengan
niat untuk mendapat kegagalan. Dan sudah menjadi
lumrah dunia universiti, sebelum ijazah digenggam
di tangan, satu ujian perlu dilalui. Ujian
tersebut selalunya terbahagi kepada 2 iaitu
internal assessment dan final exam.
Menyedari hal ini, ada
yang sedari mula lagi telah bersedia
mengulangkaji pelajaran bagi memastikan ujian
peperiksaan yang bakal dihadapi itu dapat dilalui
dengan baik. Namun ada juga yang sudah menjadi
kebiasaan mereka mengamalkan last minute study.
Yang paling malang ialah mereka yang lalai
sehinggakan tidak bersedia langsung dalam
menghadapi ujian tersebut yang akhirnya membawa
ke arah kegagalan.
Begitu jugalah
persamaannya dengan kehidupan dunia ini. Bagi
mereka yang beriman tentang wujudnya syurga dan
neraka sudah semestinya menginginkan kenikmatan
syurga dan menolak siksaan neraka. Fitrah manusia
mengkehendaki sesuatu yang indah yang mana di
dalam hal ini dapatlah disamakan Syurga itu
dengan Ijazah tersebut. Namun seperti juga halnya
ijazah , syurga yang diidam-idamkan perlu dibayar
dengan beberapa siri ujian. Internal assessment
dalam hal ini merupakan siri-siri ujian yang kita
hadapi dalam kehidupan dunia ini sebelum hadir
dan tibanya final exam iaitu MATI. Semenjak
manusia "mendaftarkan" diri di
University of Life ini, maka mereka akan diuji
dengan kesusahan, kemiskinan, dan ketakutan.
Kenikmatan dunia ini juga merupakan Internal
Assessment buat diri manusia.
Setiap masa dan ketika,
ujian-ujian ini akan melewati kehidupan manusia
tanpa henti-henti sebagai satu rahmat dari Allah
untuk memastikan bahawa, adakah diri kita sudah
benar-benar bersedia untuk menghadapi final exam
bagi semester kehidupan ini. Justeru itu, dengan
adanya Internal Assessment ini, maka mahu tidak
mahu kita harus setiap masa bersiap sedia dengan
ilmu, iman dan amal. Seperti halnya para pelajar
yang harus sentiasa mengulangkaji pelajaran
mereka supaya dapat memperolehi markah yang baik
untuk Internal Assessment seterusnya memantapkan
diri mereka bagi menghadapi final exam iaitu
peperiksaan hujung semester.
Sudah menjadi sunnatullah,
hanya mereka yang sudah bersedia sahaja yang
dapat menjalani ujian peperiksaan dengan mudah.
Begitu jugalah dengan diri manusia, sekiranya
sepanjang mereka berada di University of Life ini,
mereka mempersiapkan diri dengan bekalan iman dan
taqwa, maka apabila final exam atau maut itu tiba,
dengan mudah mereka laluinya bersama iman menjadi
temannya.
Kembali kita ke saat ini,
di mana para pelajar sedang menanti dengan penuh
debaran akan keputusan peperiksaan mereka.
Kerisauan merayap, kegelisahan melanda. Di kala
ini mereka seperti kata pepatah : tidur tak lena,
makan tak kenyang dan mandi tak basah. Apakah aku
akan lulus? Bagaimana kalau aku gagal? Soalan
demi soalan berlegar di fikiran, namun jawapan
tidak ketemu selagi keputusan ujian belum
terpapar di papan kenyataan.
Begitulah hakikatnya
manusia setelah dikumpulkan di padang Mahsyar
kelak. Mereka terpinga-pinga kebingungan. Mereka
dilanda keresahan dan diselubungi kegelisahan
akibat khuatir tentang nasib diri mereka. Apakah
aku lulus dalam ujian semasa aku berada di atas
pentas University of Life? Atau kegagalankah yang
bakal aku terima?
Soalan demi soalan
menghantui setiap insan di padang yang kontang
itu. Benarlah, penantian itu satu penyiksaan.
Tersiksa jiwa manusia diburu ketakutan yang amat
sangat kerana di saat itu mereka sedar, jika
kejayaan menjadi keputusan, maka ijazah taman
Syurga pasti akan dianugerahkan oleh Chancellor
Agong di hari konvokesyen alam Mahsyar.
Sebaliknya kalau kegagalanlah yang diperolehi ,
maka terhinalah mereka di hari konvokesyen itu.
Terhalau ke neraka sebagai balasan atas kelalaian
mereka semasa bermaustatin di University of Life.
Maka beruntunglah mereka
yang sentiasa bersiap sedia dalam siri ujian
kehidupan ini baik ujian semasa nyawa dikandung
badan, mahu pun ujian kematian. Dan rugilah
mereka yang selalu melengah-lengahkan persiapan
dalam menghadapi ujian-ujian ini. Mudah-mudahan
kita semua tergolong dari kalangan orang-orang
yang sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi
ujian peperiksaan dan juga ujian kehidupan dan
kematian.
|