KATA-KATA ALUAN, WAKIL ATASE PENDIDIKAN, KEDUTAAN BESAR MALAYSIA
USTAZ ISMAIL BIN ABDULLAH.
 
Wakil ATASE Pendidikan : Ustaz Ismail Bin Abdullah  
Bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurniaNya sekali lagi kita ditemukan dalam ruangan ini. Syabas saya ucapkan kepada sidang redaksi yang telah bertungkus lumus untuk menerbitkan majalah ini dan jutaan terima kasih diucapkan kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk menulis sepatah dua kata dalam ruangan ini.

Tahniah saya ucapkan kepada barisan pimpinan BKASJ sesi ini kerana usaha kalian dalam memimpin ahli BKASJ, menjalankan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun bertujuan meningkatkan thaqofah ahli dan menyediakan ahli yang kreatif, inovatif, pro-aktif dan matang dalam sebarang tindakan sebelum terjun ke medan yang sebenar di Malaysia.

Usaha menerbitkan majalah ini saya anggap sebagai antara langkah yang terbaik untuk membuka minda ahli, mengasah atau mencungkil bakat penulisan yang sedia ada atau yang terpendam.

Sebagai badan yang bertanggung jawab menjaga kebajikan ahlinya, saya berharap pihak BKASJ tidak mengabaikan pengisian rohani sebagai sumber kekuatan bagi menghadapi situasi realiti di tanah air. Semoga kematangan dan pengalaman yang disemai di bumi barakah ini menjadi kesinambungan kepada pembangunan dan kemajuan yang seimbang di negeri Selangor khususnya dan di tanah air amnya.

USTAZ ISMAIL BIN ABDULLAH
Atase Pendidikan,
Pusat Penuntut Malaysia,
Kedutaan Besar Malaysia,
Amman.

 
 
KATA-KATA ALUAN, PENASIHAT BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR JORDAN
( BKASJ ) SESI 1998/1999 : USTAZ NUSHI BIN MAHFODZ
 
Penasihat BKASJ sesi 1998/1999 : Ustaz Nushi Bin Mahfodz  
Segala puji dan syukur selayaknya hanya buat Allah SWT, selawat dan salam buat junjungan mulia Baginda Muhammad SAW.

Sebagai memulakan bicara, jutaan terima kasih diucapkan buat sidang redaksi Majalah Visi Ehsan kali ke 3 kerana sudi meluangkan sedikit kesempatan kepada saya untuk menyampaikan kata-kata aluan di dalam ruangan ini. Juga, sekalung syabas dan tahniah buat kalian di atas kemampuan dan keupayaan yang ditonjolkan di dalam menerbitkan lidah rasmi BKASJ ini secara konsisten dan berkualiti.

Dunia penerbitan memainkan peranan yang amat penting di dalam menyebarkan maklumat dan pengetahuan. Apatah lagi bagi kita yang sedang berdepan dengan ledakan teknologi maklumat sebelum melangkah ke alaf baru. Seharusnya kepakaran dan kemahiran ke arah itu telah kita miliki walaupun mungkin aliran  dan bidang yang sedang kita dalami ketika ini agak jauh berbeza, kerana sesungguhnya cabaran yang lebih global bakal kita hadapi kelak amat mendesak supaya kita mempunyai kebolehan dan pengetahuan di dalam semua bidang. Semoga Visi Ehsan mampu menjadi wadah untuk melatih dan membimbing penulis-penulis yang berpotensi dan kreatif untuk menyalurkan pandangan dan pemikiran kritis mereka seterusnya melahirkan mahasiswa yang intelek lagi dinamik.

Justeru, BKASJ amat memerlukan kerjasama dan sokongan yang berte-rusan daripada semua pihak untuk menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi memastikan lagi kelangsungan kerja dan kebajikan terhadap ahli-ahlinya terjamin. Semoga BKASJ dapat terus mengatur langkah dengan lebih kemas dan teratur seiring dengan misi dan visinya.

BEKERJASAMA MEMBENTUK KESEPAKATAN

NUSHI BIN MAHFODZ
Penasihat
Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan
Sesi 1998/1999

 
 
KATA-KATA ALUAN, YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR JORDAN
( BKASJ ) SESI 1998/1999 : USTAZ MOHD SOFA BIN HAJI AHMAD
 
Yang DiPertua BKASJ Sesi 1998/1999 : Ustaz Mohd Sofa Bin Haji Ahmad  
Puji dan syukur pada Ilahi, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kaum kerabat baginda, pada Sahabat, Tabi'in serta para Solihin seluruhnya.

Pertamanya, sekalung tahniah dan penghargaan diucapkan kepada Sidang Rekdaksi VISI EHSAN juga Biro Penerbitan dan Penerangan sesi 1998/99 kerana bertungkus-lumus mengorbankan masa, tenaga dan fikrah bagi memastikan kejayaan penerbitan majalah VISI EHSAN pada tahun ini. Terima kasih juga pada editorial VISI EHSAN kerana sudi memberikan peluang kepada saya untuk menyusun bicara pada kali ini.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekelian, sebut sahaja BKASJ, ianya tidak dapat tidak untuk lari daripada hal-hal kebajikan mahupun Ukhuwwah Islamiah di kalangan ahli. Justeru itu inginlah saya menyeru agar sama-sama bergabung tenaga dan fikrah untuk merealisasikan Ukhuwwah Islamiah ini agar dapat terus dijadikan tunggak kesatuan dan kesepakatan dalam bepersatuan. Bermula dari ukhuwwah inilah ianya dapat mendaulatkan Islam dan ummah itu sendiri bagi menghadapi  musuh-musuh Islam yang sekarang ini hanya ingin melihat antara kita saling bercakaran sesama sendiri.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekelian, apa lagi yang kita nantikan. Marilah sama-sama bergandingan tenaga dan meneruskan keiltizaman serta komitmen yang utuh terhadap BKASJ dalam apa jua cabaran yang akan dihadapi. Dikesempatan ini saya mewakili Majlis Tertinggi dan Badan Pentadbir BKASJ sesi 1998/99 memohon ampun dan maaf buat sahabat-sahabat ahli BKASJ. Tidak lupa juga sekalung penghargaan buat pihak Kedutaan Malaysia di Amman, JAIS, MAIS, BKAN dan Persatuan Universiti serta ahli-ahli BKASJ di atas usaha-usaha dan kerjasama yang telah dilakukan. Untuk akhirnya semoga dengan penerbitan majalah VISI EHSAN ini menjadi wasilah yang amat baik untuk melatih mahasiswa/wi di dalam bidang media-massa dan menjadi salah satu inspirasi buat ahli BKASJ dan masyarakat umumnya.

Sekian terima kasih, wassalam.

MOHD SOFA BIN HAJI AHMAD
Yang DiPertua
Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan
Sesi 1998/1999

 
 
KATA-KATA ALUAN, NAIB YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR JORDAN
( BKASJ ) SESI 1998/1999 : USTAZAH SITI NAZRAWASIAH BINTI HAJI ABDUL RASID
 
   
Setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian dihadapkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia Nya kepada kita semua, yang masih mengekalkan nikmat Iman dan Islam di dalam hati-hati kita.

Terima kasih saya ucapkan kepada barisan sidang redaksi Visi Ehsan di atas usaha-usaha kalian, mudah-mudahan ianya merupakan satu ibadah yang diterima oleh Allah SWT. Juga di atas kesudian, memberi peluang kepada saya menulis sepatah dua kata di dalam ruangan ini.

qidah Islamiah dan keimanan yang mantap merupakan asas utama di dalam kehidupan, demi menjamin ketauhidan yang suci dan bersih daripada syirik, kufur, nifaq dan sebagainya. Juga memelihara diri daripada terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan kefasadan. Sentiasa beriltizam dengan syariat Allah dan patuh serta taat kepada segala perintah Nya.

Mahasiswa/wi Islam sekalian,

Akibat daripada kelalaian memelihara amanah Allah yang amat berharga ini, manusia pada hari ini semakin lupa pada fitrah diri dan sumpah mereka di hadapan Yang Maha Kuasa sebelum dihidupkan di dunia ini. Kebanyakan mereka telah berani mencemari hukum Allah, dan tanpa segan silu melakukan maksiat dan dosa di muka bumi ini.

Ahli-ahli BKASJ yang dikasihi fillah,

Marilah kita bersama-sama mengukuhkan aqidah Islamiah yang telah tertanam di dalam hati-hati kita. Semailah dan bajailah ia dengan amal-amal soleh seperti solat, puasa , zikrullah,  infaq dan sebagainya. Hindarilah diri daripada melakukan dosa yang merupakan racun berbisa dan akan menggelapkan hati daripada hidayah Allah SWT.

Utamakan keikhlasan kerana Allah di dalam segala gerak kerja dan tindakan, demi menuju ke arah cinta Allah yang hakiki dan mengharapkan redha Nya, maghfirah Nya dan hidayah Nya. Semoga usaha-usaha kita tidak menjadi sia-sia malah sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Nya. 

Segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT, manakala kekurangan dan kesilapan adalah daripada diri yang dhaif ini. Namun hakikatnya semuanya daripada Allah jua, kerana tanpa pertolongan dan izin Nya kita hamba yang tidak mampu melakukan apa-apa di dunia ini.

SITI NAZRAWASIAH BINTI HAJI ABDUL RASID
Naib Yang DiPertua
Badan Kebajikan Anak Selangor Jordan
Sesi 1998/1999