Imam Bukhari yang terkenal
cerdik dizamannya dengan menghafal isi kandungan
kitab karangan Ibnu Mubarak dan Waqi' (guru Imam
Syafi'e) ketika berumur 16 tahun. Dan ketika
berumur 18 tahun beliau mula menulis kitab
mengenai hadith dan perawi hadith yang lain.
Beliau diumpamakan seperti
'Lautan Hadith' di kalangan ulama' hadith
dizamannya. Kelebihannya bukan hanya kerana
beliau menghafal banyak hadith, tetapi beliau
juga memahami segala kehendak hadith tersebut
secara terperinci dan mendalam. Beliau bukan
sahaja mengingat setiap hadith dengan perawi atau
sanadnya sekali, malah beliau dapat menghurai
sifat dan peribadi para perawi hadith itu hingga
dapat dikenalpasti martabat hadith itu dengan
tepat.
Pernah berlaku dalam satu
majlis ilmu yang diadakan di Kota Basrah, beliau
telah diminta oleh ulama'-ulama' di sana
untuk menghuraikan hadith-hadith yang tersemat
dalam ingatannya dan mereka telah menyalinnya
ketika itu juga.
Antara hadith-hadith yang
dibacanya itu adalah hadith dari sanad ahli-ahli
hadith Basrah sendiri, tetapi ulama'-ulama' yang
hadir pada majlis itu tidak pernah mendengar
hadith-hadith dan sanad-sanad yang disampaikan
itu.
Sahabat-sahabat
sepengajiannya pernah bertanya kepadanya, "Mengapa
kami tidak pernah melihat engkau mencatat hadith-hadith
yang kita pelajari?" Lalu Imam Bukhari
meminta sahabatnya itu membawa hadith yang
dicatatkan untuk beliau membacanya. Setelah
dibawakan catatan hadith itu kepadanya, beliau
membaca hadith itu tanpa melihat catatan tersebut.
Seorang sahabatnya yang
bernama Hasyid bin Ismail berkata, "Hadith
yang dibaca oleh Imam Bukhari itu berjumlah 15
ribu hadith dan ketika beliau membaca hadith dari
ingatannya itu, kami dapat membetulkan kesilapan-kesilapan
yang ada dalam catatan kami." Setelah sesi
membaca hadith itu tamat, Imam bukhari berkata
kepada kawan-kawannya : "Sekarang adakah
kamu masih menyangka aku mensia-siakan masaku
selama ini tanpa mencatat hadith ?"
Begitulah kehebatan ulama'
hadith yang ulung ini. Kecekapannya menghafal
hadith amat luar biasa sehingga beliau diberi
gelaran 'Al Hafizul Aula' yang bermaksud 'penghafal
yang utama'.
Beliau adalah ahli hadith
yang melakukan pengumpulan hadith dari seluruh
dunia Islam yang tidak pernah dilakukan oleh
ulama' hadith yang lain. Beliau cukup teliti
untuk memastikan kesahihan sesebuah hadith dan
sanggup menempuh perjalanan yang jauh demi
mendapatkan sebuah hadith atau untuk memastikan
kebenaran sesebuah hadith itu.
"Aku tidak akan
memasukkan sebuah hadith pun di dalamnya (Sahih
Bukhari) sehingga aku sembahyang dua rakaat dan
beristikharah kepada Allah," katanya,
sebagaimana yang dicatat oleh Imam Ibnu Hajar.
Tidak hairanlah beliau mengambil masa 16 tahun
untuk menyempurnakan kitabnya yang masyhur itu.
BIODATA IMAM BUKHARI
Nama sebenar Imam Bukhari
ialah Muhammad bin Ismail bin Mughirah Al Ja'fi.
Gelaran Bukhari diambil dari tanah kelahirannya
di Bukhara, salah sebuah negeri di Uzbekistan.
Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal 194H.
Ayahnya seorang ahli hadith dan meninggal dunia
sewaktu beliau masih kecil lagi.
Sejak kecil Imam Bukhari
terkenal sebagai kanak-kanak pintar dan suka
menuntut ilmu. Ketika berumur 10 tahun, beliau
mula belajar daripada beberapa ulama' terkenal di
Bukhara seperti Abdullah bin Muhammad Al Masnadi,
Harun Al Asy'ath, Muhammad bin Yusuf Al Bakindi
dan lain-lain. Dan beliau hafiz Al-Quran ketika
berumur 11 tahun.
Ketika berumur 16 tahun
beliau bersama ibu dan abangnya telah menunaikan
fardhu haji dan tinggal di sana untuk menuntut
ilmu terutamanya ilmu hadith, sementara ibu dan
abangnya pulang ke Bukhara.
Di Mekah beliau berguru
dengan ulama'-ulama' yang masyhur seperti Abdul
Walid Ahmad bin Muhammad Al Azraqi, Ismail bin
Salim Al-Shayigh dan lain-lain ulama' besar
ketika itu. Kemudian beliau ke Madinah untuk
memperluaskan ilmunya. Beliau mula menulis kitab
pertamanya yang bertajuk "At-Tarikhul Kabir".
Beliau berguru dengan anak
murid Imam Malik iaitu Imam Syafi'e, Imam Ahmad
bin Hanbal dan beberapa orang ulama' lain.
Selepas itu beliau mengembara ke Baghdad, Mesir
dan Damsyiq dan beberapa buah negara lagi.
Kecenderungannya dalam
ilmu hadith begitu mendalam. Beliau mencari guru
di setiap negara yang dilawatinya, yang semuanya
berjumlah 1080 orang. Imam Bukhari menghabiskan
umurnya dengan mempelajari, mengumpul dan
mengarang banyak kitab hadith. Antara kitab yang
masyhur ialah Al-Jami'us Sahih (Sahih Bukhari, At
Tarikhul Ausat, Kitabul Musnad Al-Kabir, Kitabul
Fawaid dan Birrul Walidain.
Beliau pulang ke
rahmatullah pada malam Sabtu 1 Syawal tahun 265
Hijrah (870 Masihi) ketika berusia 62 tahun.
Jenazahnya dikebumikan selepas Zuhur di sebuah
daerah di Samarkhand. Ketika dikebumikan, beribu-ribu
orang yang mengiringi jenazahnya tercium bau
harum selama beberapa hari dan mereka juga
melihat cahaya putih memancar dari kuburnya
menjulang ke langit.
|